Skip to main content

Zakat Perlu Diurus Dengan Amanah, Telus. 
Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa pengurusan zakat mestilah berpaksikan kepada tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.

Menurut baginda, sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa hanya akan mencemarkan kepercayaan umat Islam terhadap institusi zakat.

Baginda menyingkap peristiwa pada zaman Rasulullah SAW melibatkan Al-Lutabiyyah – seorang pemungut zakat yang menerima hadiah daripada pembayar zakat.

Rasulullah mempertikaikan tindakan tersebut dan memperingatkan bahawa hadiah sebegitu boleh membawa unsur rasuah serta tidak wajar diterima oleh pemegang amanah zakat.

“Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa.

“Jadikan kisah Al-Lutabiyyah sebagai pedoman dan tanda aras etika kerja yang amanah, telus dan berintegriti dalam kalangan warga kerja Pusat Zakat,” titah baginda semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

ZAPAR merupakan sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk yang ditubuhkan bagi mempertingkat kecekapan kutipan dan memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.

Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa zakat berperanan sebagai instrumen utama untuk menjamin keadilan sosial.

Jelas baginda, melalui zakat juga dapat mengangkat martabat golongan yang memerlukan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dengan miskin.

“Di samping perintah mengutip zakat, ALLAH Subhanahu Wata‘ala turut memperincikan lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat melalui firman-Nya dalam ayat 60, Surah At-Taubah.

“Ayat ini menjadi asas rujukan untuk mengurus pengagihan zakat secara adil dan teratur.

“(Ini) demi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan hak golongan asnaf dan menentukan setiap sen yang dikutip dibelanjakan mengikut ketetapan ALLAH Subhanahu Wata‘ala,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin menyifatkan penubuhan ZAPAR sebagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi kepada perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti kepada pelanggan dan rakyat.

“Pewujudan ZAPAR insya-ALLAH akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki (pembayar zakat).

“Keutamaan tadbir urus yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari,” titah baginda.