Zakat Simpanan
Dalil Kewajipan Berzakat
Dari Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
"Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negeri Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah, dan tidak diwajibkan zakat dalam sesuatu harta kecuali genap setahun."
Takrifan
Wang Simpanan didefinisikan sebagai sejumlah wang tunai yang disimpan sama ada berbentuk emas atau perak atau wang kertas yang mempunyai nilai tukaran.
Dalam konteks semasa, ia meliputi semua bentuk wang seperti wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, simpanan pelaburan serta lain-lain bentuk simpanan persendirian di bank atau mana-mana institusi kewangan.
Nisab
Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).
Penentuan Haul
Kaedah penentuan haul berdasarkan tahun Hijri. Haul bermula apabila cukup nisab dan jumlah simpanan tidak kurang dari jumlah nisab sepanjang tempoh haul.
Kaedah Pengiraan zakat
Zakat Simpanan = Baki Terendah Dalam Tempoh Haul x 2.5%
Dapatkan baki terendah dalam tempoh haul yang melebihi kadar nisab semasa dan nilai dividen (tidak patuh syariah) bagi wang yang disimpan dalam akaun konvensional hendaklah diasingkan dalam pengiraan zakat simpanan
Bandingkan jumlah baki terendah simpanan ini dengan kadar nisab pada akhir haul. Jika menyamai atau melebihi, maka wajib dikeluarkan zakat 2.5% atau 1/40.