ZAPAR CARE TOUR 2.1 -
Mendekati Pembayar, Menyantuni Masyarakat
IPOH, 22 Jun 2026 – Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menganjurkan ZAPAR Care Tour (ZACT) 2.1, sebuah program yang menghimpunkan syarikat korporat, pembayar zakat individu serta rakan strategik bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai impak agihan zakat dan pembangunan wakaf di negeri Perak.
Penganjuran program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan ZACT 1.0 yang menerima sambutan dan maklum balas positif daripada peserta. Melalui pelaksanaan edisi kedua ini, ZAPAR terus komited memperkukuhkan hubungan bersama pembayar zakat di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan zakat dan wakaf yang dilaksanakan secara telus, profesional dan berimpak tinggi.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah dibawa menziarah beberapa penerima bantuan zakat melibatkan asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan bina rumah, bantuan bulanan, bantuan kewangan, bantuan perubatan dan bantuan modal. Turut menjadi tumpuan lawatan kepada beberapa usahawan yang telah berjaya membina perniagaan hasil bantuan awal dan bimbingan dari MAIPk antaranya perniagaan spa dan perkhidmatan gunting rambut.
Lawatan juga berkisar peri penting sumbangan wakaf yang banyak membantu dalam pembangunan ummah. Peserta berpeluang melihat sendiri projek wakaf yang berjaya dijalankan seperti perkhidmatan dobi layan diri dan pusat rawatan dialisis. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta melihat sendiri bagaimana dana zakat yang ditunaikan telah membantu meningkatkan taraf kehidupan asnaf serta memperkasakan ekonomi umat Islam di negeri Perak.
Selain menyampaikan bantuan, peserta turut berpeluang berinteraksi secara dekat dengan para penerima manfaat bagi mendengar sendiri kisah kehidupan, cabaran serta kejayaan mereka selepas menerima bantuan zakat. Pengalaman ini secara tidak langsung memberi gambaran jelas bahawa setiap sumbangan zakat yang ditunaikan mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan golongan yang memerlukan.
Penganjuran ZAPAR Care Tour 2.1 merupakan antara inisiatif strategik ZAPAR dalam memperkukuhkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menunaikan zakat dan berwakaf, di samping meningkatkan keyakinan pembayar terhadap keberkesanan agihan yang dilaksanakan.
ZAPAR berharap program seumpama ini akan terus menjadi platform yang menghubungkan pembayar zakat dengan penerima manfaat secara lebih dekat, sekali gus mengukuhkan budaya prihatin, tanggungjawab sosial dan semangat kebersamaan dalam membangunkan kesejahteraan ummah.
