Skip to main content
Wang Zakat Pendapatan

Zakat Pendapatan Wajib atau Tidak? Hukum, Dalil & Penjelasan Lengkap

Zakat Pendapatan Wajib atau Tidak?

Ramai pekerja Islam di Malaysia tertanya-tanya: adakah zakat pendapatan wajib dibayar?

Berbeza dengan zakat fitrah yang lebih difahami umum, zakat pendapatan masih menimbulkan kekeliruan kerana ia melibatkan perbahasan hukum yang lebih mendalam.

Artikel ini menerangkan hukum zakat pendapatan secara jelas berdasarkan dalil Al-Quran, hadis, pandangan ulama, dan fatwa rasmi di Malaysia supaya anda dapat memahami tanggungjawab anda sebagai seorang Muslim.

 


 

Apakah Itu Zakat Pendapatan?

Zakat pendapatan atau Zakat Harta Perolehan dikenali juga sebagai zakat mal al-mustafad dalam istilah fiqh — adalah zakat yang dikenakan ke atas hasil pendapatan yang diperoleh seorang Muslim melalui pekerjaan, perkhidmatan profesional, atau mana-mana usaha yang halal.

Ini termasuk:

  • Gaji bulanan pekerja kerajaan dan swasta

  • Upah harian dan elaun tetap

  • Pendapatan bebas (freelance) dan perkhidmatan profesional

  • Honorarium, komisyen, dan bonus

Pendapatan yang ini dikategorikan sebagai harta perolehan (al-mal al-mustafad) dan inilah asas perbincangan hukumnya dalam Islam.

 


 

Hukum Zakat Pendapatan : Wajib atau Tidak?

Jawapan Ringkas: Ya, Wajib Bagi Yang Memenuhi Syarat

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Keputusan ini disokong oleh fatwa di hampir semua negeri Malaysia. Di negeri Pulau Pinang contohnya, Jawatankuasa Syariah Negeri telah memfatwakan zakat pendapatan adalah wajib sejak 04 Disember 1989.

Begitu juga di Negeri Perak, Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke-233 padia 23 hingga 25 November 2023 bersamaan 9 hingga 11 Jamadilawal 1445H telah memperakukan seperti berikut:

  • Segala hasil, pendapatan, pemerolehan atau pulangan atas balasan perkhidmatan, pendapatan bebas, pemberian dan hasil al-mustaghallat atau hasil yang seumpamanya dikategorikan sebagai harta perolehan (al-mal al-mustafad).

  • Semua orang Islam yang bekerja atau memperoleh harta perolehan di dalam Negeri Perak adalah diwajibkan membayar zakat harta perolehan apabila memenuhi syarat dan rukun.

 

 


 

Apakah Dalil Yang Mewajibkan Zakat Pendapatan?

Para ulama moden yang mewajibkan zakat pendapatan bersandar kepada tiga dalil utama:

Dalil Pertama — Firman Allah SWT (Al-Baqarah: 267)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu." 

Ayat ini menunjukkan bahawa setiap hasil usaha yang baik termasuk gaji dan pendapatan profesional wajib dikeluarkan zakatnya.

Dalil Kedua — Hadis Nabi SAW

Hadis daripada Abu Musa Asyaa'ri R.A bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: "Setiap orang Islam diwajibkan zakat." Para sahabat lalu bertanya bagaimana jika mereka tidak memiliki harta, dan Rasulullah SAW menjawab agar mereka berusaha dengan tangan mereka sendiri sehingga memberi manfaat lalu bersedekah.

Dalil Ketiga — Amalan Sahabat Nabi

Al-athar para Sahabat turut menjadi dalil kewajiban zakat pendapatan. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd bahawa Abdullah ibn Masud memberikan bakul yang berisi barang bernilai, dan sebahagiannya diambil untuk membayar zakat walaupun harta itu baru diperoleh dan belum genap setahun dimiliki.

 


 

Syarat Wajib Zakat Pendapatan

Walaupun hukumnya wajib, zakat pendapatan hanya dikenakan apabila syarat-syarat berikut dipenuhi:

Syarat

Penjelasan

Muslim

Hanya umat Islam yang wajib membayar zakat

Merdeka

Bebas dan tidak terikat

Milik sempurna

Pendapatan dimiliki sepenuhnya

Cukup nisab

Pendapatan tahunan melebihi nilai 85 gram emas semasa

Pendapatan halal

Hasil daripada usaha yang dibenarkan syarak

Jika pendapatan tidak mencapai nisab, maka tidak wajib, tetapi digalakkan bersedekah. Nisab ialah paras minimum pendapatan yang mewajibkan zakat. Di Malaysia, nisab zakat pendapatan biasanya disandarkan kepada nilai 85 gram emas semasa.

 


 

Kadar Zakat Pendapatan

Kadar zakat pendapatan yang ditetapkan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan bersih selepas tolakan had kifayah (keperluan asas diri dan tanggungan).

Terdapat dua kaedah pengiraan yang diterima pakai:

Kaedah 1 — Pendapatan Kasar Pendapatan kasar setahun × 2.5% = Zakat yang perlu dibayar

Kaedah 2 — Pendapatan Bersih (selepas tolakan) (Pendapatan setahun − Had Kifayah) × 2.5% = Zakat yang perlu dibayar

Kaedah kedua biasanya menghasilkan jumlah zakat yang lebih rendah kerana mengambil kira keperluan asas pembayar dan tanggungannya.

Untuk pengiraan yang tepat, gunakan Kalkulator Zakat Pendapatan ZAPAR yang telah disediakan secara percuma.

 


 

Adakah Cukai Pendapatan Menggantikan Zakat?

Ramai yang keliru antara cukai pendapatan LHDN dengan zakat. Jawapannya jelas: tidak, cukai tidak menggantikan zakat.

Cukai adalah tanggungjawab kepada negara, manakala zakat adalah kewajipan agama. Umat Islam di Malaysia perlu terlebih dahulu menunaikan zakat dan kemudian menyelaraskan bayaran zakat tersebut dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapat rebat cukai sebagaimana yang termaktub dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini bermakna zakat yang anda bayar kepada ZAPAR boleh mengurangkan cukai pendapatan anda bukan sebaliknya. Ini merupakan satu kelebihan berganda menunaikan kewajipan agama sekaligus mendapat manfaat pelepasan cukai.

 


 

Cara Mudah Bayar Zakat Pendapatan di Perak

Bagi penduduk Negeri Perak, bayaran zakat pendapatan boleh dilakukan melalui Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) menggunakan pelbagai saluran:

  • Skim Potongan Gaji (PZB) — zakat dipotong automatik dari gaji bulanan tanpa perlu ingat tarikh bayaran. Ketahui lebih lanjut di halaman Skim Potongan Zakat Bulanan ZAPAR.

  • Bayaran dalam talian — melalui portal e-zakat yang disediakan

  • Kaunter ZAPAR — No. 11, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak

Untuk semak nisab terkini dan kira jumlah zakat anda, layari halaman Info Zakat Pendapatan ZAPAR.

 


 

Soalan Lazim — Zakat Pendapatan

Adakah zakat pendapatan wajib walaupun sudah bayar KWSP? Ya, wajib. Caruman KWSP boleh ditolak daripada pengiraan pendapatan bersih sebagai sebahagian had kifayah, tetapi kewajipan zakat ke atas baki pendapatan yang cukup nisab tetap ada.

Bagaimana jika pendapatan saya tidak tetap setiap bulan? Bagi pendapatan tidak tetap, pengiraan dibuat berdasarkan jumlah pendapatan yang terkumpul dalam setahun. Jika jumlah tersebut melebihi nisab, zakat wajib dibayar.

Boleh bayar zakat pendapatan secara ansuran bulanan? Ya, boleh. Kaedah ini malah digalakkan supaya tidak tertunggak. Skim Potongan Gaji ZAPAR menyediakan kemudahan ini secara automatik.

Adakah zakat pendapatan saya layak untuk pelepasan cukai LHDN? Ya. Semua zakat yang dibayar kepada institusi zakat yang diiktiraf seperti ZAPAR layak dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan individu.

Di mana boleh kira zakat pendapatan saya? Guna kalkulator percuma di portal MAIPK

 


 

Kesimpulan

Zakat pendapatan atau zakat harta perolehan adalah wajib ke atas setiap Muslim di Malaysia yang memperoleh pendapatan melebihi nisab berdasarkan dalil Al-Quran, hadis, amalan sahabat, dan keputusan fatwa rasmi seluruh negeri termasuk Perak.

Ia bukan sekadar kewajipan agama ia juga merupakan mekanisme pembersihan harta dan saluran bantuan kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat. Dengan kemudahan bayaran moden yang disediakan ZAPAR, menunaikan zakat pendapatan kini lebih mudah dari sebelumnya.

Untuk maklumat lanjut tentang zakat pendapatan di Perak, layari halaman Info Zakat Pendapatan atau hubungi ZAPAR di +605-255 8755.

 


 

Artikel ini disediakan oleh Zakat Perak Al Ridzuan Sdn. Bhd. (ZAPAR) adalah sebuah syarikat milik penuh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) bagi melaksanakan urusan kutipan zakat dan wakaf tunai di Negeri Perak dan bertindak sebagai Pengurus Pungutan Zakat dan Mutawalli Pungutan Wakaf Tunai bagi pihak MAIPk.