Skip to main content

SEMINAR ZAKAT NEGERI PERAK:
KEBERKATAN HARTA, KEAMANAN NEGARA


SEMINAR ZAKAT NEGERI PERAK: KEBERKATAN HARTA, KEAMANAN NEGARA
 

BRIGED UTARA, 15 OKTOBER 2026 – Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) terus memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kewajipan berzakat dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi penganjuran Seminar Zakat Negeri Perak bertemakan “Keberkatan Harta, Keamanan Negara” yang berlangsung di Dewan 1, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), pada Khamis. 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Briged Utara PGA, 69 Komando dan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) ini merupakan inisiatif kolaborasi strategik bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada warga pasukan keselamatan berhubung kewajipan menunaikan zakat, khususnya zakat pendapatan, berdasarkan hukum syarak. 

Seminar berkenaan menghimpunkan kira-kira 400 orang peserta yang terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai awam, ahli keluarga serta Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) daripada Ibu Pejabat Briged Utara PGA, 69 Komando, PLPGA, Batalion 1 PGA dan Batalion 3 PGA. 

Penganjuran seminar ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan memahami kaedah taksiran zakat yang tepat serta peranan zakat sebagai instrumen yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah, khususnya dalam kalangan masyarakat yang memerlukan di Negeri Perak. 

Selain meningkatkan kesedaran mengenai kewajipan berzakat, program ini turut menjadi platform untuk memudahkan urusan pembayaran zakat melalui penyediaan kaunter taksiran dan bayaran zakat secara terus, termasuk pendaftaran Skim Potongan Gaji Zakat (ePZB). Inisiatif ini diharap dapat membantu warga PGA melaksanakan tanggungjawab berzakat dengan lebih mudah, teratur dan berkesan. 

Hadir mewakili Pemangku Komander Briged Utara PGA ialah Supt Syamsul Amri bin Abu Bakar @ Zain, Komandan PLPGA. DSP AB Malek bin Mohamed Monir, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA; Wakil 69 Komando ASP Mohd Hamdi Bin Baharudin  serta Tuan Ahmad Nazim bin Md. Tajuri, Pengurus Besar ZAPAR. 

Melalui penganjuran program seumpama ini, ZAPAR berharap hubungan strategik bersama warga PGA dan PDRM dapat terus diperkukuh, sekali gus menggalakkan budaya menunaikan zakat secara konsisten dalam kalangan warga pasukan keselamatan. 

ZAPAR komited untuk meneruskan usaha memperluas pendidikan dan kesedaran zakat melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi dan organisasi, demi memastikan kefahaman mengenai kewajipan berzakat terus dipertingkatkan serta manfaat zakat dapat menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan pembangunan Negeri Perak. 

Semoga inisiatif kolaborasi ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak sektor kerajaan dan swasta untuk menjadi rakan strategik ZAPAR.