McDonald’s Malaysia
Serah Zakat Perniagaan RM150,000 kepada ZAPAR,
Santuni Asnaf di Perak
Sekitar majlis Penyerahan Zakat Perniagaan McDonald’s Perak bersama Zakat Perak Al Ridzuan dan Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak. Tiga dari kiri En Fairuz Iqma Bin Zubir (Pemilik Restoran McDonalds Pandu Lalu Sunway City Ipoh), En Ahmad Shihafudin Bin Mustapha (Pengarah Pematuhan & Kerjasama Institusi McDonald’s Malaysia Merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia), En Munawir bin Mohamed Noh (Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Strategik dan Adat Melayu), En Zulfadli Bin Baharum (Pengurus Kanan Bahagian Pemasaran & Strategik Pendataan ZAPAR) dan En. Saiful Nizam bin Not (Pengurus Besar Zon Tengah MAIPk).
5 Oktober 2026 | Greentown, Ipoh – McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya dalam menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan serta menyantuni komuniti menerusi Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Perak & Sumbangan kepada Asnaf yang berlangsung di McDonald’s Greentown, Ipoh hari ini.
Majlis tersebut merupakan hasil kerjasama antara McDonald’s Malaysia, Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) dan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), dengan Perak menjadi negeri kelapan bagi lokasi penyerahan zakat korporat McDonald’s Malaysia pada tahun ini.
Dalam majlis berkenaan, McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM150,000 kepada ZAPAR sebagai tanda komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan kewajipan zakat perniagaan, di samping memperkukuh hubungan strategik bersama institusi zakat negeri.
Inisiatif penyerahan zakat ini akan diteruskan di seluruh negara melalui kerjasama dengan institusi zakat di setiap negeri, sebagai sebahagian daripada usaha McDonald’s Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah organisasi yang prihatin serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.
McDonald’s Malaysia merupakan sebuah syarikat milik 100 peratus orang Islam yang dimiliki oleh anak tempatan, Dato’ Haji Azmir Jaafar menerusi syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. sejak tahun 2017. Komitmen syarikat dalam pembayaran zakat turut disokong menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada komuniti di seluruh negara.
Selain pembayaran zakat, McDonald’s Malaysia turut menyantuni golongan asnaf menerusi sumbangan Kotak Rezeki, selain menyediakan hidangan makanan percuma kepada komuniti setempat. Inisiatif tersebut turut diperluaskan ke dua lokasi lain di Perak, iaitu McDonald’s Pandu-Lalu Kuala Kangsar dan McDonald’s Pandu-Lalu Seri Iskandar, bagi memberi peluang kepada pelanggan serta komuniti setempat menikmati hidangan percuma.
Menurut En. Ahmad Shihafudin, komitmen McDonald’s Malaysia terhadap masyarakat bukan sahaja dizahirkan melalui pembayaran zakat dan sumbangan kepada golongan memerlukan, malah turut merangkumi usaha memperkasa golongan muda melalui peluang pendidikan dan kerjaya.
Antara inisiatif tersebut ialah Akademi Vokasional McDonald’s, yang memberi peluang kepada anak-anak muda untuk melanjutkan pengajian sambil bekerja serta memperoleh kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM). Program ini turut membuka peluang kepada peserta untuk membina laluan kerjaya bersama McDonald’s.
Komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menunaikan zakat perniagaan serta melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan mencerminkan usaha sebuah organisasi untuk terus berkembang seiring dengan tanggungjawab dalam memberi kembali kepada komuniti.
Kerjasama bersama institusi zakat negeri seperti ZAPAR juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem zakat korporat, sekali gus memastikan budaya menunaikan zakat terus diperkasakan dalam kalangan sektor korporat demi manfaat masyarakat dan golongan yang memerlukan.
