
SIARAN MEDIA ZAKAT PERAK AL RIDZUAN
MAJLIS PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN BERSAMA
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK
IPOH, PERAK 16 Jun 2026 - Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM18,755,278.77 yang terdiri daripada enam syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Kinta, Ipoh, Perak.
Penyerahan zakat pertama diterima daripada Empayar Indera Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus Besar, YBhg. Datuk Hasrin Bin Abdul Rahman, dengan jumlah bayaran zakat sebanyak RM200,000.00. Berikutnya, Kumpulan Kewangan Islam Maybank yang diwakili oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, YBhg. Dato’ Sri Khairussaleh Bin Ramli, telah menunaikan kewajipan zakat berjumlah RM4,087,000.00.
Dalam pada itu, zakat perniagaan berjumlah RM6,497,476.64 daripada Lembaga Tabung Haji yang diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Mustakim Bin Mohamad. Seterusnya, Public Islamic Bank Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Syamsul Azuan Bin Ahmad Fauzi turut menyampaikan bayaran zakat sebanyak RM300,000.00.
Ia diikuti oleh Tenaga Nasional Berhad yang diwakili oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Datuk Ir. Ts. Shamsul Bin Ahmad yang telah menyalurkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7,285,000.00. Penyerahan zakat perniagaan diakhiri oleh YP Nominees Holdings Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Hajah Rozita Binti Ramli berjumlah RM385,802.13.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Bin Zaini.
Sebelum itu, majlis didahului dengan pengurniaan watikah kepada Anggota Majlis Agama Islam Dan ‘Adat Melayu Perak. Pengurniaan watikah tersebut diberikan kepada Yang Berusaha Tuan Asmori Bin Hj. Sa’ahari, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak.
Hadir sama pada majlis berkenaan adalah:
i. Yang Teramat Mulia Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah
ii. YABhg. Jen. Dato’ Seri Diraja, Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi Bin Haji Zainuddin, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.
iii. YABhg. Tan Sri Mohd. Annuar Bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak.
iv. YABhg. Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Seri Mohamad Othman Bin Zainal Azim.
v. YBhg. Orang Kaya Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato’ Ab. Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan.
vi. YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Hj. Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Perak.
vii. YB. Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
viii. YB. Dato’ Azmir Shah Bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.
ix. Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak.
x. YBhg. Dato' Haji Harith Fadzilah Bin Haji Abdul Halim Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
xi. Tuan Ahmad Nazim Bin Md. Tajuri Pengurus Besar Zakat Perak Al Ridzuan.
Sumbangan zakat yang diterima hari ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi lambang kepercayaan dan iltizam berterusan para pembayar zakat dalam memperkasakan agenda pembangunan ummah. ZAPAR komited untuk menguruskan kutipan dana zakat secara cekap, telus dan berakauntabiliti agar manfaatnya dapat dirasai oleh golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
Sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak RM63,144,266.41 telah diagihkan kepada golongan asnaf di negeri Perak melalui pelbagai skim bantuan yang disediakan. Pencapaian ini membuktikan bahawa amanah yang diberikan oleh para pembayar zakat terus diterjemahkan kepada manfaat yang nyata untuk masyarakat yang memerlukan.
