Skip to main content
wakaf akhirat

Apa itu Wakaf Tunai? — Panduan Hukum dan Cara Berwakaf di Malaysia

Ramai yang tahu tentang zakat. Tapi wakaf?

Wakaf adalah satu amalan Islam yang kelebihannya jauh melampaui sedekah biasa kerana pahalanya tidak pernah putus walaupun selepas anda meninggal dunia.

Yang lebih menarik, anda tidak perlu memiliki tanah atau bangunan untuk berwakaf. Melalui konsep wakaf tunai, sesiapa sahaja boleh berwakaf bermula dari jumlah yang kecil dan manfaatnya akan terus mengalir kepada masyarakat selagi harta wakaf itu masih digunakan.

Artikel ini menerangkan secara lengkap apa itu wakaf tunai, hukumnya dalam Islam, perbezaannya dengan jenis wakaf lain, faedah yang anda perolehi, dan cara berwakaf melalui Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) hari ini.

 


Apa Itu Wakaf?

Sebelum memahami wakaf tunai, penting untuk faham dahulu konsep wakaf secara keseluruhan.

Dari sudut bahasa, wakaf bermaksud menahan, memberhentikan atau mengekalkan sesuatu.

Dari sudut istilah syarak, wakaf ialah menahan sesuatu harta yang boleh dimanfaatkan dengan mengekalkan asal harta tersebut, manakala manfaatnya disalurkan bagi tujuan kebajikan yang diredai Allah SWT.

Ringkasnya, apabila sesuatu harta diwakafkan, hak milik harta tersebut tidak lagi boleh dijual, diwariskan atau dipindah milik. Sebaliknya, manfaat daripada harta itu akan terus dinikmati oleh masyarakat mengikut tujuan wakaf yang telah ditetapkan.

Konsep inilah yang menjadikan wakaf sebagai salah satu bentuk amalan yang memberi manfaat berpanjangan kepada umat Islam.

 

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Para ulama menjelaskan bahawa wakaf merupakan antara bentuk sedekah jariah yang paling jelas kerana manfaatnya terus berkekalan selagi harta wakaf tersebut masih digunakan untuk tujuan kebajikan.

Oleh sebab itu, wakaf sering dianggap sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang memberikan ganjaran berterusan kepada pewakaf. Jawhar

 


 

Apa Itu Wakaf Tunai?

Wakaf tunai ialah satu bentuk wakaf yang menggunakan wang tunai sebagai harta yang diwakafkan. Berbeza dengan wakaf tradisional yang lazimnya melibatkan tanah, bangunan atau harta tak alih, wakaf tunai membolehkan setiap individu berwakaf mengikut kemampuan masing-masing tanpa perlu memiliki aset bernilai tinggi.

Secara umumnya, wakaf tunai am merujuk kepada sumbangan wang tunai yang diwakafkan bagi tujuan kebajikan dan maslahah umum menurut hukum syarak. Dana wakaf tersebut akan diuruskan oleh institusi wakaf yang diberi kuasa mengikut dasar, tatacara dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada pembangunan wakaf serta program-program yang memberi manfaat kepada umat Islam.

sedekah

Keistimewaan wakaf tunai ialah ia membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta dalam amalan wakaf. Sama ada melalui sumbangan sekali sahaja atau secara berkala, setiap sumbangan berpotensi menjadi sebahagian daripada usaha membangunkan aset wakaf, memperkasa pendidikan, meningkatkan kebajikan masyarakat dan menyokong pembangunan ummah.

Sebenarnya, konsep wakaf tunai bukanlah sesuatu yang baharu. Sejarah mencatatkan bahawa amalan ini telah berkembang sejak zaman Empayar Uthmaniyah, apabila dana wakaf digunakan bagi menyokong penyediaan pelbagai kemudahan awam seperti institusi pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kebajikan masyarakat. Pengalaman tersebut menunjukkan bahawa wakaf tunai telah lama menjadi salah satu instrumen penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.

Pada hari ini, wakaf tunai terus berkembang sebagai antara instrumen kebajikan Islam yang relevan dengan keperluan semasa. Dengan kemudahan saluran pembayaran digital dan pengurusan yang lebih sistematik, semakin ramai umat Islam dapat menyertai amalan wakaf serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara berterusan.

 


Adakah Wakaf Tunai Sama Dengan Menderma?

Walaupun kedua-duanya melibatkan pemberian wang, wakaf tunai tidak sama dengan derma biasa.

Derma lazimnya digunakan bagi memenuhi keperluan semasa atau membantu sesuatu program tertentu.

Sebaliknya, wakaf tunai dibuat dengan niat mewakafkan harta bagi tujuan kebajikan yang berpanjangan mengikut hukum syarak dan peraturan yang ditetapkan oleh institusi pengurusan wakaf.

Inilah yang membezakan wakaf daripada bentuk sumbangan yang lain.

sedekah makanan

____________________________________________________________________________

Siapa Yang Boleh Berwakaf?

Salah satu kelebihan wakaf tunai ialah ia terbuka kepada semua umat Islam yang ingin menyumbang.

Anda tidak perlu menjadi seorang jutawan atau memiliki tanah untuk berwakaf.

Malah, sumbangan yang kecil daripada ramai pewakaf mampu menghasilkan manfaat yang besar apabila dihimpunkan bagi menyokong pembangunan dan kebajikan masyarakat.

Atas sebab itu, wakaf tunai menjadi antara instrumen kebajikan Islam yang semakin mendapat perhatian di Malaysia.

___________________________________________________________________________

Hukum Wakaf Tunai Dalam Islam

Ya. Secara umumnya, wakaf tunai diharuskan menurut syarak dan menjadi salah satu instrumen wakaf yang diamalkan secara meluas pada masa kini.

Walaupun terdapat perbahasan dalam kalangan ulama terdahulu mengenai keharusan mewakafkan wang tunai kerana sifatnya yang berbeza daripada harta kekal seperti tanah atau bangunan, majoriti ulama kontemporari berpandangan bahawa wakaf tunai adalah harus berdasarkan prinsip maslahah (kemaslahatan umum) serta keperluan semasa.

Antara tokoh yang menyokong keharusan wakaf tunai ialah Syekh Wahbah Az-Zuhaili dan Syekh Yusuf al-Qaradawi. Mereka berpendapat bahawa wang tunai boleh dijadikan harta wakaf sekiranya diuruskan mengikut prinsip syariah dan dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan bahawa amalan wakaf tunai adalah harus dan boleh dilaksanakan sebagai salah satu instrumen pembangunan wakaf. Selaras dengan keputusan tersebut, Majlis Agama Islam di setiap negeri, termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), melaksanakan pengurusan wakaf mengikut peruntukan undang-undang serta hukum syarak yang berkuat kuasa.

Oleh itu, umat Islam tidak perlu ragu-ragu untuk menyertai program wakaf tunai yang disediakan melalui saluran rasmi. Selain berpeluang menyumbang kepada pembangunan ummah, amalan ini juga merupakan salah satu bentuk sedekah jariah yang diharapkan memberi ganjaran pahala yang berterusan selagi manfaat wakaf tersebut dinikmati.

Kesimpulannya, wakaf tunai merupakan amalan yang diharuskan dan digalakkan dalam Islam apabila dilaksanakan mengikut hukum syarak serta melalui institusi yang diberi kuasa menguruskan wakaf.

 


 

Mengapa Wakaf Tunai Menjadi Pilihan?

Kemudahan teknologi serta saluran pembayaran digital menjadikan wakaf tunai semakin mudah disertai oleh masyarakat.

Hari ini, seseorang boleh berwakaf tanpa perlu melalui proses yang rumit. Sumbangan boleh dibuat mengikut kemampuan dan disalurkan melalui saluran yang disediakan oleh institusi berkaitan.

Pendekatan ini membolehkan lebih ramai umat Islam mengambil bahagian dalam amalan wakaf, sekali gus menyokong pembangunan aset serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

____________________________________________________________________________

Perbezaan Wakaf Tunai dan Wakaf Harta

Walaupun kedua-duanya merupakan amalan wakaf yang bertujuan memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, terdapat beberapa perbezaan dari segi bentuk harta, kaedah pelaksanaan dan proses pengurusannya. Oleh itu, mari kita lihat perbezaan utama antara keduanya.

Aspek

Wakaf Tunai

Wakaf Harta (Tanah/Bangunan)

Harta yang diwakafkan

Wang tunai

Tanah, bangunan, harta tak alih

Nilai sumbangan

Mengikut kemampuan pewakaf, tanpa perlu memiliki aset bernilai tinggi 

Bergantung kepada nilai hartayang dimilik

Siapa boleh berwakaf

Terbuka kepada semua umat Islam yang berkemampuan 

Individu yang memiliki harta yang layak diwakafkan 

Kaedah Pelaksanaan

Menyumbang wang tunai melalui institusi wakaf yang diberi kuasa 

Mewakafkan hak milik harta kepada institusi wakaf mengikut prosedur yang ditetapkan 

Proses

Mudah, cepat dan boleh dilakukan secara dalam talian atau di kaunter 

Memerlukan dokumentasi serta urusan berkaitan pemindahan atau pengesahan harta 

Fleksibiliti

Sangat fleksibel kerana boleh dilakukan pada bila-bila masa dan mengikut kemampuan 

Kurang fleksibel kerana bergantung kepada pemilikan harta serta proses perundangan 

Secara ringkasnya, wakaf tunai memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menyertai amalan wakaf kerana tidak memerlukan pemilikan tanah atau bangunan. Sumbangan boleh dibuat mengikut kemampuan, sama ada secara sekali bayar atau berkala, menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Sebaliknya, wakaf harta melibatkan pewakafan aset seperti tanah, bangunan atau harta tak alih yang dimiliki oleh pewakaf. Walaupun prosesnya lebih kompleks dan memerlukan urusan dokumentasi tertentu, aset wakaf tersebut berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka masa panjang mengikut tujuan wakaf yang telah ditetapkan.

 

Seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas, wakaf tunai menawarkan kaedah berwakaf yang lebih mudah, fleksibel dan praktikal berbanding wakaf harta tradisional. Kemudahan ini menjadikan wakaf tunai semakin mendapat perhatian masyarakat di Malaysia, khususnya dengan adanya pelbagai saluran pembayaran yang memudahkan orang ramai untuk berwakaf.

Walau bagaimanapun, kedua-dua bentuk wakaf ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan kebajikan yang memberi manfaat berterusan kepada umat Islam. Sama ada memilih wakaf tunai atau wakaf harta, kedua-duanya merupakan amalan yang mulia. Pilihan tersebut bergantung kepada kemampuan, jenis harta yang dimiliki serta hasrat pewakaf untuk menyumbang kepada pembangunan dan kebajikan ummah.

 


 

Bagaimana Wakaf Tunai Dimanfaatkan?

Di Perak, wakaf tunai diwujudkan bagi membiayai pembangunan dan pelaksanaan projek-projek wakaf yang memberi manfaat berterusan kepada umat Islam dan masyarakat. Setiap sumbangan daripada para pewakaf akan dihimpunkan serta diuruskan mengikut dasar, tatacara dan hukum syarak bagi membangunkan aset wakaf yang mampan dan memberi manfaat untuk jangka masa panjang.

Melalui Dana Wakaf Perak Al Ridzuan, masyarakat berpeluang menyumbang kepada pelbagai projek wakaf yang berimpak tinggi, antaranya Wakaf Pengajian Al-Quran, Wakaf Maahad Tahfiz, Wakaf Gerobok Makan, Wakaf Mesin Dobi Layan Diri, Wakaf Rumah Inap, Wakaf Premis Niaga, Wakaf Kediaman Pelajar IPT dan Wakaf Pusat Dialisis. Setiap projek dibangunkan bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam aspek pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pembangunan sosial.

Apabila sesuatu projek wakaf berjaya dibangunkan, manfaatnya akan terus dinikmati oleh masyarakat mengikut tujuan wakaf yang telah ditetapkan. Bagi projek-projek yang berpotensi menjana hasil, pulangan tersebut akan dimanfaatkan semula untuk membiayai pembangunan projek-projek wakaf yang baharu, sekali gus memperkukuh pembangunan wakaf di negeri Perak.

simpan duit

Pendekatan ini mewujudkan Kelestarian Wakaf (Wakaf Sustainability), iaitu satu kitaran pembangunan yang berterusan. Dana wakaf digunakan untuk membangunkan aset wakaf, aset tersebut memberi manfaat kepada masyarakat, dan hasil yang dijana daripada projek yang berkaitan dimanfaatkan semula untuk memperluaskan pembangunan wakaf.

Pada masa yang sama, pendekatan ini turut menghasilkan Kesan Gandaan Wakaf (Snowball Effect). Semakin ramai masyarakat menyertai wakaf tunai, semakin besar dana yang dapat dihimpunkan untuk membangunkan lebih banyak projek wakaf. Apabila projek-projek tersebut berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat, hasilnya pula menyokong pembangunan projek wakaf yang seterusnya. Kitaran ini akan terus berulang, sekali gus mewujudkan lebih banyak aset wakaf dan memperluaskan manfaat kepada generasi kini serta generasi akan datang.

Inilah keistimewaan wakaf tunai. Ia bukan sekadar satu bentuk sumbangan, tetapi merupakan satu pelaburan kebajikan yang membina Ekosistem Kelestarian Wakaf (Wakaf Sustainability Ecosystem). Setiap sumbangan menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih banyak projek wakaf, sekali gus memastikan manfaatnya terus berkembang, berkekalan dan dapat dinikmati oleh masyarakat untuk selama-lamanya.

 



Mengapa Memilih Dana Wakaf Perak Al Ridzuan?

 

Berwakaf bukan sekadar menyumbang, malah memilih institusi yang amanah dan mempunyai perancangan pembangunan wakaf yang jelas. Melalui Dana Wakaf Perak Al Ridzuan, setiap sumbangan wakaf tunai diuruskan secara sistematik untuk membiayai pembangunan projek-projek wakaf yang memberi manfaat berterusan kepada umat Islam di negeri Perak.

Antara kelebihan memilih Dana Wakaf Perak Al Ridzuan ialah:

1. Pelbagai Pilihan Dana Wakaf

Pewakaf boleh memilih untuk menyumbang kepada pelbagai projek mengikut minat dan hasrat masing-masing, antaranya Wakaf Pengajian Al-Quran, Wakaf Maahad Tahfiz, Wakaf Gerobok Makan, Wakaf Mesin Dobi Layan Diri, Wakaf Rumah Inap, Wakaf Premis Niaga, Wakaf Kediaman Pelajar IPT dan Wakaf Pusat Dialisis.

2. Membiayai Pembangunan Projek Wakaf

Setiap sumbangan wakaf tunai dihimpunkan bagi membiayai pembangunan projek-projek wakaf yang dirancang untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Pendekatan ini membolehkan lebih banyak aset wakaf diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

3. Kelestarian Wakaf (Wakaf Sustainability)

Projek-projek wakaf yang dibangunkan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah bagi projek yang berpotensi menjana hasil, pulangan tersebut dimanfaatkan semula untuk menyokong pembangunan projek wakaf yang lain. Pendekatan ini memastikan pembangunan wakaf dapat diteruskan secara mampan dan berterusan.

4. Kesan Gandaan Wakaf (Snowball Effect)

Semakin ramai masyarakat menyertai wakaf tunai, semakin besar dana yang dapat dihimpunkan untuk membangunkan lebih banyak projek wakaf. Apabila projek-projek tersebut berkembang dan memberi manfaat kepada masyarakat, ia turut menjadi pemangkin kepada pembangunan projek wakaf yang baharu. Kitaran ini mewujudkan kesan gandaan yang memperkukuh pembangunan wakaf dari semasa ke semasa.

5. Memberi Manfaat Berpanjangan

Wakaf merupakan antara amalan yang memberi manfaat secara berterusan. Setiap projek yang berjaya dibangunkan berpotensi memberi impak kepada ribuan penerima manfaat dalam aspek pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pembangunan sosial.

6. Membina Masa Depan Ummah

Melalui Dana Wakaf Perak Al Ridzuan, setiap sumbangan menjadi sebahagian daripada usaha membina ekosistem wakaf yang lebih kukuh dan mampan. Semakin banyak projek wakaf dibangunkan, semakin luas manfaat yang dapat dinikmati oleh masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ummah untuk generasi kini dan akan datang.

Setiap ringgit yang diwakafkan hari ini bukan sekadar membantu membangunkan satu projek, malah menjadi asas kepada kelestarian wakaf yang akan melahirkan lebih banyak projek dan manfaat pada masa hadapan. Itulah kekuatan Dana Wakaf Perak Al Ridzuan.

Untuk senarai penuh program wakaf yang tersedia dan cara penyertaan, layari halaman Info Wakaf ZAPAR untuk maklumat terkini.

__________________________________________________________________________

6 Faedah Wakaf Tunai Yang Perlu Anda Tahu

Mengapa wakaf tunai wajar menjadi pilihan anda hari ini? Ramai masih beranggapan bahawa wakaf hanya melibatkan tanah atau harta bernilai tinggi. Hakikatnya, melalui wakaf tunai, setiap individu berpeluang menyumbang mengikut kemampuan masing-masing dan memperoleh ganjaran amal jariah yang berterusan.

Berikut adalah enam faedah utama wakaf tunai yang mungkin belum anda ketahui.

Faedah 1 — Pahala Berterusan Selepas Kematian

Antara keistimewaan terbesar wakaf ialah ganjaran pahala yang berterusan walaupun selepas seseorang itu meninggal dunia.

Berbeza dengan sedekah biasa yang diberikan pada satu-satu masa, manfaat wakaf akan terus dinikmati oleh masyarakat selagi mana harta atau manfaat wakaf tersebut digunakan.

Sebagai contoh, hasil wakaf yang digunakan untuk membina sekolah, masjid atau kemudahan awam akan memberi manfaat kepada masyarakat. Setiap ilmu yang dipelajari, setiap ibadah yang dilakukan dan setiap kebaikan yang terhasil daripadanya menjadi sebahagian daripada amal jariah yang berterusan.

Faedah 2 — Boleh Berwakaf dengan Jumlah Kecil mengikut kemampuan

Ramai beranggapan wakaf hanya untuk mereka yang mempunyai tanah atau harta yang besar. Namun, melalui wakaf tunai, sesiapa sahaja boleh berwakaf tanpa mengira jumlah sumbangan.

Walaupun dengan jumlah kecil seperti RM10 sebulan, sumbangan yang dikumpulkan secara bersama daripada ramai pewakaf mampu membentuk dana yang besar untuk membiayai pelbagai projek pembangunan wakaf.

Setiap sumbangan memainkan peranan dalam membina manfaat yang berkekalan untuk masyarakat.

Faedah 3 — Memberi Manfaat Kepada Komuniti: Wakaf Bukan Sekadar Masjid dan Tanah Perkuburan 

Ramai masih beranggapan bahawa wakaf hanya tertumpu kepada pembinaan masjid, surau atau tanah perkuburan. Sebenarnya, konsep wakaf adalah jauh lebih luas dan merangkumi pelbagai bentuk pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Aset wakaf boleh dibangunkan dalam pelbagai bentuk seperti bangunan komersial, kedai, hotel, pusat pendidikan, kemudahan kesihatan serta projek ekonomi yang menjana pendapatan berterusan. Hasil daripada aset-aset wakaf ini boleh dimanfaatkan semula untuk membiayai program kebajikan, pendidikan, dakwah dan pembangunan ummah.

Sebagai contoh, sebuah bangunan wakaf yang mempunyai ruang perniagaan atau hotel boleh menjana pendapatan secara berterusan, dan hasilnya disalurkan kembali untuk manfaat masyarakat. Ini menjadikan wakaf bukan sahaja sebagai satu bentuk amal kebajikan, tetapi juga sebagai instrumen pembangunan ekonomi Islam yang mampan.

Melalui wakaf tunai yang diurus secara sistematik oleh ZAPAR, masyarakat berpeluang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan aset wakaf yang produktif dan memberi manfaat kepada komuniti secara berterusan, sekali gus meninggalkan legasi kebaikan untuk generasi hari ini dan akan datang.

wakaf bangunan

Faedah 4 — Mudah, Cepat dan Tidak Memerlukan Proses Rumit

Berbanding wakaf harta seperti tanah yang melibatkan proses dokumentasi dan urusan pemindahan hak milik, wakaf tunai menawarkan kaedah yang lebih mudah dan praktikal.

Orang ramai boleh melaksanakan wakaf tunai dalam masa yang singkat melalui saluran yang disediakan seperti platform dalam talian atau kaunter ZAPAR.

Proses yang mudah, selamat dan telus menjadikan wakaf tunai lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Faedah 5 — Sebahagian Daripada Perancangan Harta Islam

Wakaf tunai juga boleh menjadi salah satu instrumen dalam perancangan harta Islam.

Selain menyediakan harta untuk keperluan waris, seseorang Muslim boleh memperuntukkan sebahagian daripada hartanya untuk tujuan wakaf sebagai usaha meneruskan sumbangan kebajikan selepas meninggal dunia.

Dengan perancangan yang baik, wakaf menjadi satu bentuk legasi kebaikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Faedah 6 — Memperkasa Ekonomi Ummah

Wakaf tunai mempunyai potensi besar dalam memperkukuhkan ekonomi umat Islam apabila dana yang dikumpulkan diurus secara sistematik dan strategik.

Dana wakaf boleh dimanfaatkan untuk menyokong pelbagai projek pembangunan yang menjana manfaat ekonomi dan sosial kepada masyarakat.

Melalui penyertaan ramai pewakaf, wakaf tunai menjadi satu instrumen penting dalam membina ekonomi ummah yang lebih mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

 


 

Cara Berwakaf Tunai Melalui ZAPAR

Berwakaf tunai melalui ZAPAR adalah mudah dan boleh dilakukan dalam beberapa cara.

Cara 1 — Dalam Talian
Berwakaf kini lebih mudah dan pantas melalui saluran digital ZAPAR. Anda boleh membuat sumbangan wakaf tunai secara terus melalui portal rasmi ZAPAR atau memilih projek wakaf yang ingin disokong.

Setiap projek wakaf mempunyai Tabung Wakaf khusus dengan kod QR tersendiri yang membolehkan anda membuat bayaran dengan mudah melalui aplikasi perbankan atau pembayaran digital pilihan anda.

Antara pilihan projek wakaf yang boleh disokong termasuk Wakaf Am, Wakaf Pengajian Al-Quran, Wakaf Maahad Tahfiz, Wakaf Gerobok Makan, Wakaf Mesin Dobi Layan Diri, Wakaf Rumah Inap, Wakaf Premis Niaga, Wakaf Kediaman Pelajar IPT dan Wakaf Pusat Dialisis.

Caranya mudah:

  1. Layari portal rasmi ZAPAR: Bayar Wakaf Tunai dan pilih projek wakaf yang anda ingin sertai. Simpan resit rasmi sebagai bukti sumbangan wakaf anda.

  2. Atau Imbas kod QR Tabung Wakaf projek tersebut atau teruskan pembayaran melalui portal. Info : Tabung Wakaf Tunai

  3. Masukkan jumlah sumbangan dan lengkapkan transaksi.

Cara 2 — Kaunter Rasmi ZAPAR
Hadir terus ke ibu pejabat ZAPAR di No. 11, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh, Perak. Pegawai kami akan membantu anda memilih program wakaf yang sesuai dan memproses sumbangan anda. Lokasi : Semua Kaunter Cawangan ZAPAR

Cara 3 — Potongan Gaji Bulanan
Sama seperti Skim Potongan Zakat Bulanan, anda boleh mendaftar untuk potongan wakaf secara automatik daripada gaji setiap bulan. Ini memastikan sumbangan anda berterusan tanpa perlu ingat setiap kali. Daftar: Potong Gaji Wakaf Serendah RM10

Untuk maklumat saluran pembayaran yang lengkap, layari halaman Hubungi ZAPAR.

Hubungi ZAPAR:
Telefon: +605-255 8755 | Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. | Portal: zapar.com.my

 


 

Wakaf Tunai vs Sedekah Biasa — Mana Lebih Baik?

Ini merupakan antara persoalan yang sering ditanya oleh masyarakat. Sebenarnya, kedua-duanya adalah amalan yang mulia dalam Islam, namun mempunyai peranan dan tujuan yang berbeza.

Sedekah biasa lebih sesuai untuk membantu keperluan semasa dan kecemasan seperti menyediakan makanan kepada golongan yang memerlukan, membantu individu yang sedang menghadapi kesusahan atau menyokong bantuan ketika berlaku bencana. Ia memberi manfaat secara langsung kepada penerima pada waktu tersebut.

Wakaf tunai pula merupakan satu bentuk pelaburan akhirat yang bersifat jangka panjang. Melalui pengurusan yang sistematik, dana wakaf boleh dikumpulkan dan dibangunkan menjadi aset atau projek yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan ekonomi ummah.

Justeru, persoalannya bukan tentang mana yang lebih baik, tetapi bagaimana kedua-duanya boleh saling melengkapi. Sedekah membantu memenuhi keperluan segera, manakala wakaf membina manfaat yang berkekalan untuk generasi hari ini dan akan datang.

Selain itu, untuk memahami dengan lebih jelas perbezaan antara sedekah dan zakat, anda boleh merujuk artikel Perbezaan Sedekah dan Zakat ZAPAR yang menerangkan hukum dan peranan masing-masing dalam Islam.

 


 

Soalan Lazim — Wakaf Tunai

Berapa jumlah minimum untuk berwakaf tunai?

Tiada jumlah minimum yang ditetapkan untuk wakaf tunai. Setiap individu boleh berwakaf mengikut kemampuan masing-masing, sama ada dengan jumlah kecil atau besar.

Dalam wakaf, nilai sesuatu sumbangan bukan hanya dilihat pada jumlahnya, tetapi pada keikhlasan dan manfaat yang terhasil daripadanya. Sumbangan kecil yang dikumpulkan bersama-sama boleh menjadi dana besar yang membangunkan projek wakaf dan memberi manfaat kepada ramai orang.

Jangan tunggu mempunyai harta yang banyak untuk berwakaf. Mulakan dengan kemampuan yang ada kerana setiap sumbangan adalah peluang untuk membina amal jariah yang berterusan.

Hubungi ZAPAR di +605-2558755 atau layari Info Wakaf Tunai.

 

Adakah wakaf tunai mendapat rebat cukai seperti zakat?

Wakaf tunai mempunyai konsep yang berbeza daripada zakat. Zakat yang memenuhi syarat tertentu layak mendapat rebat cukai, manakala wakaf tidak diberikan rebat cukai dalam bentuk yang sama.

Walau bagaimanapun, sumbangan wakaf kepada institusi yang diiktiraf mungkin layak dipertimbangkan sebagai pelepasan cukai tertakluk kepada syarat dan ketetapan semasa pihak berkuasa berkaitan.

Selain manfaat dari sudut cukai, wakaf menawarkan nilai yang lebih besar iaitu peluang membina amal jariah yang terus memberi manfaat kepada masyarakat.

Untuk maklumat terkini berkaitan status cukai sumbangan wakaf, sila hubungi ZAPAR atau rujuk pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Bolehkah saya berwakaf tunai atas nama orang lain atau orang yang telah meninggal?

Ya, boleh. Anda boleh berwakaf atas nama ibu bapa, ahli keluarga atau individu tersayang yang telah meninggal dunia sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan.

Wakaf tersebut boleh menjadi salah satu bentuk sumbangan kebajikan yang diniatkan untuk mereka. Pada masa yang sama, anda juga memperoleh ganjaran daripada amalan wakaf yang dilakukan.

Jadikan wakaf sebagai hadiah terbaik yang terus memberi manfaat walaupun seseorang itu telah tiada.

 

Apakah yang berlaku kepada wang wakaf tunai saya? Adakah ia selamat?

Sumbangan wakaf tunai yang disalurkan melalui ZAPAR diuruskan secara sistematik dengan tadbir urus yang teratur di bawah pemantauan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dana wakaf akan diurus mengikut prinsip syariah dan dimanfaatkan untuk pembangunan projek-projek wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan, kemudahan sosial dan pembangunan ekonomi ummah.

Bagi memastikan ketelusan kepada para pewakaf, perkembangan dan status pelaksanaan projek-projek wakaf akan dikemas kini melalui Portal Wakaf MAIPk dari semasa ke semasa.

Melalui kemas kini ini, para pewakaf dapat mengetahui bagaimana sumbangan mereka dimanfaatkan serta melihat impak wakaf yang dibangunkan untuk manfaat masyarakat.

Setiap sumbangan wakaf adalah satu amanah yang akan diurus dengan penuh tanggungjawab agar manfaatnya dapat berterusan untuk generasi hari ini dan akan datang.

 

Bolehkah saya tentukan tujuan spesifik wang wakaf tunai saya?

Ya, anda boleh memilih projek atau kategori wakaf yang ingin disokong berdasarkan pilihan yang disediakan.

Contohnya, anda boleh menyumbang kepada wakaf pendidikan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masjid atau projek wakaf lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Jika anda memilih wakaf tunai am, dana tersebut akan diuruskan untuk keperluan pembangunan wakaf yang bersesuaian dan memberi impak terbaik kepada masyarakat.

Dengan memilih wakaf, anda turut memilih jenis manfaat yang ingin anda tinggalkan untuk generasi akan datang.

 

Adakah wakaf berbeza dari zakat? Boleh wakaf menggantikan zakat?

Wakaf dan zakat adalah dua ibadah yang berbeza dari segi hukum dan tujuan.

Zakat merupakan kewajipan bagi Muslim yang memenuhi syarat tertentu, manakala wakaf ialah amalan sunat yang bertujuan menyediakan manfaat berterusan kepada masyarakat.

Wakaf tidak boleh menggantikan kewajipan zakat. Sekiranya seseorang telah memenuhi syarat wajib zakat, zakat perlu ditunaikan terlebih dahulu. Selepas itu, wakaf dan sedekah boleh menjadi amalan tambahan untuk memperluaskan lagi manfaat kepada orang lain.

Dengan zakat, kita menunaikan tanggungjawab. Dengan wakaf, kita membina legasi kebaikan.

Bagaimana untuk menyemak rekod bayaran wakaf tunai saya sepanjang tahun?

Anda boleh menyemak rekod bayaran wakaf tunai yang telah dibuat melalui saluran yang disediakan oleh ZAPAR.

Setiap transaksi wakaf yang berjaya akan direkodkan dan pewakaf akan menerima resit rasmi sebagai bukti sumbangan. Rekod ini boleh dijadikan rujukan bagi menyemak jumlah sumbangan yang telah dibuat sepanjang tahun.

Bagi pewakaf yang membuat wakaf secara berkala seperti melalui potongan gaji bulanan, rekod sumbangan boleh disemak bagi memastikan pembayaran wakaf dilakukan secara konsisten.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan rekod bayaran, kemas kini maklumat atau semakan sumbangan wakaf tunai, anda boleh menghubungi pihak ZAPAR di +605-255 8755 atau melalui saluran rasmi yang disediakan.

Dengan rekod yang tersusun, pewakaf dapat melihat perjalanan sumbangan mereka dan terus menjadi sebahagian daripada pembangunan wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

 


 

Kesimpulan

Wakaf tunai merupakan satu peluang untuk menjadikan sebahagian daripada harta kita terus memberi manfaat kepada masyarakat, bahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan selepas kita meninggalkan dunia.

Berwakaf tidak memerlukan seseorang memiliki kekayaan yang besar atau harta yang banyak. Melalui wakaf tunai, setiap individu berpeluang menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Yang paling utama ialah keikhlasan niat dan kesungguhan untuk membina legasi kebaikan buat generasi akan datang.

Sebagai seorang Muslim, tunaikanlah kewajipan zakat terlebih dahulu sekiranya telah memenuhi syarat, kemudian tambahkan amalan dengan berwakaf dan bersedekah sebagai usaha memperluaskan manfaat kepada masyarakat.

Kerana hakikatnya, harta yang paling bernilai bukan sekadar apa yang kita kumpulkan, tetapi apa yang kita sumbangkan di jalan Allah SWT dan terus memberi manfaat kepada orang lain.

Mulakan wakaf anda hari ini bersama ZAPAR. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program wakaf tunai di Perak, hubungi:

ZAPAR
Telefon: +605-255 8755
Portal: zapar.com.my

Jadikan wakaf sebagai legasi kebaikan yang terus hidup, walaupun selepas kita tiada.

 


 

Artikel ini disediakan oleh Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR), entiti yang menguruskan Pungutan Zakat dan Wakaf Tunai di negeri Perak di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Rujukan: Wakaf Tunai: Pendekatan Terbaik Mewakafkan Harta Masa Kini — IKIM | Sistem Wakaf Tunai Malaysia — Yayasan Waqaf Malaysia