Skip to main content
ZAKAT PERAK AL RIDZUAN

Rebat Cukai Pendapatan Melalui Pembayaran Zakat

Tunaikan kewajipan zakat dan nikmati kemudahan rebat cukai pendapatan berdasarkan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

01

Keistimewaan Rebat Cukai Zakat

Bagi umat Islam di Malaysia, pihak kerajaan menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 memberikan keistimewaan kepada individu beragama Islam yang menunaikan zakat untuk mendapatkan rebat terhadap cukai pendapatan yang dikenakan.

Berdasarkan Seksyen 6A(3), Akta Cukai Pendapatan 1967 , peruntukan tersebut menyatakan:

SEKSYEN 6A(3) — ACP 1967

“Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Rebat cukai bermaksud jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar boleh dikurangkan melalui pembayaran zakat yang layak, tertakluk kepada jumlah cukai yang dikenakan.

Sekiranya jumlah rebat zakat menyamai atau melebihi cukai pendapatan yang dikenakan, jumlah cukai yang perlu dibayar boleh menjadi RM0.00.

Peruntukan Seksyen 6A(3) tidak menetapkan had amaun khusus untuk bayaran zakat yang layak dituntut. Walau bagaimanapun, rebat cukai yang digunakan tidak boleh melebihi jumlah cukai pendapatan yang dikenakan bagi tahun taksiran tersebut.

Pembayar zakat juga boleh membuat bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan atau bayaran terus, termasuk bagi zakat emas, zakat saham, zakat wang simpanan dan zakat pendapatan, tertakluk kepada syarat kelayakan rebat cukai yang ditetapkan oleh LHDN.

PANDUAN CUKAI

Apa Itu Cukai Pendapatan?

Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan kepada individu yang mempunyai pendapatan bercukai berdasarkan peruntukan dan kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Jumlah cukai ditentukan berdasarkan pendapatan bercukai, pelepasan, rebat dan peraturan percukaian yang berkuat kuasa.

POTONGAN CUKAI

Apa Itu Potongan Cukai Berjadual (PCB)?

Potongan Cukai Berjadual (PCB) merupakan kaedah pembayaran cukai pendapatan melalui potongan gaji bulanan oleh majikan.

Potongan ini dilaksanakan oleh majikan berdasarkan kaedah dan jadual yang ditetapkan oleh LHDN.

02

Contoh Pengiraan Rebat Cukai Pendapatan

Sebagai contoh, seseorang individu dikenakan cukai pendapatan berjumlah RM6,000.00 bagi sesuatu tahun taksiran.

Sekiranya individu tersebut telah membayar zakat yang layak berjumlah RM6,000.00 dalam tahun yang berkenaan, serta mempunyai resit pembayaran zakat yang sah, individu tersebut layak mendapat rebat cukai sebanyak RM6,000.00.

SIMULASI PENGIRAAN REBAT
Jumlah Cukai Pendapatan RM6,000.00
Bayaran Zakat Yang Layak RM6,000.00
Jumlah Rebat Cukai − RM6,000.00
Baki Cukai Pendapatan Selepas Rebat RM0.00

* Contoh ini adalah ilustrasi ringkas. Jumlah rebat tertakluk kepada kelayakan dan taksiran cukai oleh LHDN.

Pembayar zakat yang membuat bayaran melalui potongan gaji bulanan atau pembayaran terus berpeluang menikmati rebat cukai berdasarkan jumlah pembayaran zakat yang layak.

Sekiranya jumlah rebat zakat bersamaan dengan jumlah cukai pendapatan yang dikenakan, pembayar boleh menikmati pengurangan cukai sehingga 100%.

TUNAIKAN KEWAJIPAN

Bayar Zakat Sekarang

Tunaikan zakat anda dengan mudah dan selamat melalui saluran pembayaran rasmi Zakat Perak Al Ridzuan.

Bayar Sekarang
KHIDMAT PELANGGAN

Perlukan Bantuan?

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pembayaran zakat dan rebat cukai, hubungi kami di +605-255 8755.

WhatsApp Kami