Skip to main content

Pengumuman Kadar Zakat Fitrah 1447M / 2026H

SIARAN MEDIA KADAR ZAKAT FITRAH NEGERI PERAK TAHUN 1447H / 2026M

IPOH, 3 Februari 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mengumumkan ketetapan kadar zakat fitrah negeri Perak bagi tahun 1447H / 2026M oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg. Sahibus Samahah Dato' Haji Zamri bin Hashim di ibu pejabat Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR). Penetapan kadar ini dibuat berdasarkan harga dan jenis beras di pasaran yang dimakan kebanyakan orang Islam di negeri Perak, pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Selaras dengan ketetapan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kadar zakat fitrah negeri Perak bagi tahun 1447H / 2026M ditunjukkan jadual berikut :

Bil

 Jenis Beras

 Kadar Zakat Fitrah

 1.

Beras putih import dan beras super spesial tempatan 5%.

RM10.00

2.

Beras perang, beras rebus, herba ponni dan beras wangi atau seumpamanya / setara.

RM16.00

3.

Beras basmathi, beras Jepun / calrose, beras pulut, beras merah atau seumpamanya / setara.

RM25.00

MAIPk melalui ZAPAR melantik seramai 1,735 Penolong Amil Fitrah bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan orang ramai diingatkan untuk menunaikan ibadah berkenaan kepada Penolong Amil Fitrah bertauliah yang dilantik oleh pihak ZAPAR.

ZAPAR menggalakkan umat Islam di Perak membayar zakat fitrah lebih awal bagi memudahkan agihan kepada golongan memerlukan, selain menyarankan mereka yang memenuhi syarat supaya turut menunaikan zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan dan zakat yang lain.

Bagi memudahkan urusan pembayaran, ZAPAR menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah atas talian melalui aplikasi MAIPk Bestari dan portal dengan melayari https://bestari.maipk.gov.my atau ezakat.maipk.gov.my, termasuk perbankan internet, e-wallet seperti grab, shopee serta platform digital lain. Selain itu, Penolong Amil Fitrah turut menggunakan kaedah digital serta penggunaan QR Code untuk memudahkan pembayaran. Resit pembayaran akan diberikan secara digital melalui e-mel manakala kaedah kutipan kupon manual masih disediakan melalui Penolong Amil Fitrah di semua kariah negeri Perak.

Selain itu, ZAPAR turut menawarkan dana Wakaf Perak Al Ridzuan yang merangkumi sembilan projek wakaf iaitu :

Projek Wakaf

1.

Wakaf Kediaman Pelajar Institusi Pengajian Tinggi

6.

Wakaf Mesin Dobi Layan Diri

2.

Wakaf Maahad Tahfiz

7.

Wakaf Pengajian Al-Quran

3.

Wakaf Premis Niaga

8.

Wakaf Pusat Dialisis

4.

Wakaf Rumah Inap

9.

Wakaf Am

5.

Wakaf Gerobok Makan

 

 

Masyarakat di negeri Perak digalakkan untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan wakaf agar manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ummah secara berterusan.

Sebanyak 18 cawangan Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di seluruh negeri Perak beroperasi setiap hari sepanjang bulan Ramadan, termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.

Waktu operasi kaunter bayaran adalah dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari bekerja.

Manakala operasi kaunter bayaran pada hujung minggu dan cuti umum dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang bagi cawangan Ibu Pejabat Ipoh, Taiping, Manjung, Kuala Kangsar dan Teluk Intan sahaja.