Skip to main content

ZAPAR RUN


KENYATAAN MEDIA ZAKAT PERAK AL RIDZUAN ZAPARUN 2026

IPOH, 1 NOVEMBER 2026 – Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) berjaya menganjurkan ZapaRun 2026, sebuah program larian santai sejauh lima (5) kilometer (5KM) yang menghimpunkan seramai 700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mencipta satu pencapaian membanggakan menerusi penganjuran acara larian pertama oleh ZAPAR. 

Bertempat di Ibu Pejabat ZAPAR, program yang bermula seawal jam 7.30 pagi ini bukan sekadar memberi ruang kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, malah membawa pendekatan berbeza dengan menggabungkan elemen kebajikan, zakat dan wakaf tunai dalam sebuah aktiviti komuniti yang santai serta inklusif. 

Apa yang menjadikan ZapaRun 2026 lain daripada lain ialah konsep “berwakaf sambil menyihatkan badan” yang diketengahkan buat julung kalinya oleh ZAPAR. Setiap yuran penyertaan merangkumi sumbangan wakaf tunai sebanyak RM10 yang disalurkan melalui platform ZAPAR. Ini bermakna, setiap langkah yang diatur oleh peserta bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah turut menjadi saham akhirat yang ganjarannya berterusan selagi mana manfaat wakaf itu dinikmati. 

Dana wakaf yang terkumpul hasil penyertaan ini akan disalurkan bagi membangunkan projek-projek wakaf yang telah dirancang di bawah Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk). Hasil daripada projek-projek tersebut akhirnya akan kembali dimanfaatkan oleh masyarakat di negeri Perak, sekali gus mewujudkan satu kitaran kebaikan yang bermula daripada masyarakat dan kembali semula kepada masyarakat. 

Di sinilah tagline larian ini, “Sempurna Antara Kita”, disuburkan. Peserta menyempurnakan tanggungjawab menjaga kesihatan diri, dan pada masa yang sama menyempurnakan amanah sosial melalui wakaf yang manfaatnya dikongsi bersama seluruh warga Perak. 

Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Bin Md Tajuri berkata, beliau amat teruja dan bangga apabila ZapaRun 2026 yang dianjurkan buat kali pertama ini mendapat sambutan yang begitu meriah. Menurut beliau, penganjuran ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan ZAPAR, malah membuktikan bahawa zakat dan wakaf tunai terus dipandang tinggi dan mendapat sokongan masyarakat. Lebih membanggakan, larian ini turut disertai oleh peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan agama, termasuk dari luar negara seperti Thailand dan Indonesia. 

“ZapaRun bukan larian biasa. Setiap peserta pulang dengan tubuh yang lebih sihat dan saham wakaf yang akan terus memberi manfaat kepada masyarakat Perak. Inilah maksud ‘Sempurna Antara Kita’ – kebaikan yang kita mulakan bersama, dan kita nikmati bersama,” katanya.

Penganjuran ZapaRun 2026 turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada sembilan (9) penaja utama, iaitu Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), McDonald's (MCD), YP Nominees Holdings Sdn. Bhd., Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn. Bhd., Lembaga Air Perak, Yayasan Lumut Port, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Farm Fresh dan Zaman Motors. 

Sokongan daripada rakan penaja ini mencerminkan komitmen serta keprihatinan sektor korporat dan agensi berkaitan dalam menyokong inisiatif kemasyarakatan, di samping memperkukuh hubungan strategik antara institusi zakat, sektor korporat dan komuniti. Melalui penganjuran ini, ZAPAR berharap agar pendekatan yang menggabungkan aktiviti kesihatan, kesedaran berzakat dan amalan berwakaf dapat diperluaskan sebagai medium untuk mendekati masyarakat secara lebih kreatif dan bersesuaian dengan perkembangan semasa. 

ZapaRun 2026 juga menjadi sebahagian daripada usaha ZAPAR untuk memperkukuh penjenamaan organisasi sebagai institusi yang progresif, mesra komuniti dan sentiasa berusaha memperluas akses masyarakat terhadap kemudahan pembayaran zakat serta platform sumbangan wakaf tunai. 

Kejayaan menghimpunkan 700 peserta dalam penganjuran sulung ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat dan semangat berwakaf demi kesejahteraan ummah, selaras dengan semangat “Sempurna Antara Kita”. 

https://mgperak.com/zaparun-2026-bawa-konsep-berlari-sambil-berwakaf/
https://www.sinarharian.com.my/article/802794/edisi/perak/zapar-kutip-rm175-juta-sasar-lonjakan-kutipan-zakat-menjelang-disember

TAMAT