Skip to main content

ZAPAR CARE TOUR 2.2

KENYATAAN MEDIA ZAKAT PERAK AL RIDZUAN 
ZAPAR CARE TOUR 2.2

29 Oktober, Trolak, Sungkai – Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pembayar zakat korporat menerusi pelaksanaan Program ZAPAR Care Tour (ZACT 2.2), yang memberi peluang kepada peserta mendekati golongan asnaf serta melihat secara langsung impak pengurusan zakat dan wakaf terhadap kesejahteraan masyarakat Islam di negeri Perak.

Program anjuran ZAPAR dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) ini menghimpunkan penyertaan 11 syarikat korporat bersama pembayar zakat  individu serta wakil pengurusan kedua-dua institusi bagi memperkukuh kefahaman mengenai pengurusan zakat, pelaksanaan bantuan kepada asnaf dan pembangunan projek wakaf. 

Antara syarikat korporat yang menyertai program ini ialah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON), Klinik Nilam, One World Marine Sdn. Bhd., Pertubuhan Peladang Kawasan Slim River/Tanjong Malim, Medifa Care Group Sdn. Bhd., Ameen Products Sdn. Bhd., Harizsyah Success Resources, MSH Dia Care Sdn. Bhd., Kedai Emas Hafshah dan Koperasi Sumbangan Bakti Batang Padang Berhad. 

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang menziarahi kediaman dan premis asnaf, termasuk golongan fakir dan miskin serta usahawan asnaf. Dalam sesi ziarah tersebut, bantuan berupa beras, barangan makanan dan sumbangan wang turut disampaikan sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan penerima serta usaha membantu meringankan beban kehidupan mereka. 

Pendekatan ziarah secara langsung ini turut membuka ruang kepada peserta untuk beramah mesra dengan penerima bantuan, memahami cabaran yang dihadapi serta melihat usaha pembangunan dan pemerkasaan sosioekonomi asnaf melalui pelbagai skim bantuan zakat yang diuruskan oleh MAIPk. 

Selain memberi tumpuan kepada pembangunan asnaf, program ini turut merangkumi pendedahan mengenai projek-projek wakaf kelolaan MAIPk. Lawatan berkenaan memberi peluang kepada peserta memahami peranan wakaf dalam menyokong pembangunan ummah serta kepentingan wakaf tunai sebagai salah satu instrumen sumbangan berterusan untuk manfaat masyarakat. 

Penyertaan syarikat korporat dalam ZACT 2.2 mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pengurusan zakat dengan sektor korporat dalam memperluas kesedaran mengenai tanggungjawab berzakat dan berwakaf. Kerjasama ini juga berpotensi menggalakkan lebih banyak syarikat menyokong usaha meningkatkan penyertaan warga kerja dalam menunaikan zakat dan berwakaf melalui saluran yang disediakan. 

Melalui penganjuran program ini, ZAPAR berharap hubungan antara pembayar zakat, pewakaf, sektor korporat, MAIPk dan golongan asnaf dapat terus diperkukuh, sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat dan wakaf dalam menyokong kesejahteraan serta pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri Perak. 

TAMAT